20 Disember 2011

Dakwa Anak Dipukul Guru: Bapa Saman Tadika

24 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang bapa menyaman sebuah tadika selepas anaknya didakwa dipukul seorang guru hingga cedera ketika belajar di tadika Taman Cempaka, Ampang di sini pada 7 Mac lalu.

Lee Boon Hock, 35, seorang Jurujual Barangan Elektrik ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ampang berkata tindakan itu diambil selepas kecewa dengan pengurusan Tadika Seri Cempaka yang tidak mengambil serius terhadap aduan dibuat berhubung insiden itu.

Beliau mendakwa, kejadian menimpa anaknya, Nicholas Lee, 4, adalah jelas selepas guru terlibat dikenali sebagai Nelly mengaku memukul anaknya hingga cedera menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada isterinya.

Menurutnya, dalam insiden itu anaknya didenda guru berkenaan berdiri atas meja dan ditarik rambut hingga kepala diketuk ke meja dan pehanya turut dipukul.

"Bila isteri saya hubungi guru itu, dia tak jawab. Keesokannya kami pergi ke sekolah, dia turut tidak mahu keluar dari pagi hingga petang. Lepas itu dia SMS beritahu dia menghadiri satu upacara kematian dan mengaku dalam SMS "adalah benar saya tarik rambut anak anda" tetapi lepas mengaku kita nak jumpa dia tak nak jumpa,"katanya.

Marah dengan keadaan itu, beliau membuat laporan polis di Ampang, tetapi guru berkenaan masih enggan beri kerjasama.

"Akhirnya saya tukar laporan saya dan saya nak saman sekolah itu," katanya kepada media di sini.

Menurut Lee, polis memaklumkan kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu dan difahamkan guru tersebut juga direman satu hari sejurus pulang "makan angin" dari India beberapa hari selepas kejadian itu.

Beliau berkata, satu rakaman video juga sudah dibuat bagi mengumpulkan bukti bagi tujuan saman itu.

"Untuk bukti yang lebih kukuh bagi tujuan saman, saya ke (Balai Polis) Ampang dan menyuruh anak saya buat rakaman video di Bukit Aman. Dan kini kes itu sedang berjalan," katanya sambil mendakwa anaknya kini fobia selepas kejadian itu.

tv news/-

Tiada ulasan: