08 Jun 2010

JUDI BOLA SEPAK: PERAK JADI PUSAT JUDI UTARA

24 Jamadil Akhir 1431H.
Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kecewa dengan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Perak terutamanya pihak Kerajaan Negeri Perak telah mengizinkan premis-premis judi beroperasi dalam pertaruhan perjudian pertandingan bola sepak Piala Dunia yang telah dilulus lesen oleh Kerajaan Pusat kepada Syarikat Ascot Sport anak Syarikat Kumpulan Berjaya Corporation milik Tan Sri Vincent Tan dan menjadi pusat operasi atau destinasi bagi mereka yang ingin berjudi di sebelah utara tanahair.

Ini kerana PBT di Negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor termasuk Kelantan tidak membenarkan operasi pertaruhan perjudian pertandingan bola sepak Piala Dunia diizinkan di premis-premis judi yang di bawah kawalan PBT. Sudah tentu bagi kaki-kaki judi ini berkesempatan dapat berjudi di Negeri Perak kerana Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah memberikan keizinan bagi tujuan tersebut. Bagi kaki judi di selatan Kedah, Pulau Pinang dan juga utara Selangor akan menumpukan premis judi di Perak.

Bagi kaki judi, mereka telah mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Zambry kerana memberikan peluang dan juga kebenaran untuk mereka berjudi secara sah. DPPN Pk amat kesal dengan sikap sebenar Datuk Seri Zambry yang kelihatan menyokong judi yang beliau sendiri yakin bahawa judi adalah haram di sisi Islam. DPPN Pk juga mendesak agar Tan Sri Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dan juga tokoh-tokoh agama agar menasihatkan Datuk Seri Zambry agar tidak membenarkan perjudian bola sepak ini.

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Judi: Wanita PR serah memo kepada Awang Adek esok

24 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Sekretariat Bantah Judi (Sendi) akan menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein di Parlimen, esok.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Salbiah Abdul Wahab, Sendi ditubuhkan hasil persidangan meja bulat yang disertai Wanita Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu.

Beliau berkata, penubuhannya bertujuan membela golongan sasar iaitu wanita, anak-anak dan keluarga yang akan menjadi mangsa akibat ketagihan pertaruhan judi oleh suami mereka.

Sebagaimana badan-badan lain yang menentang judi, katanya Sendi juga bertujuan menentang lesen judi sukan.

“Dan pada masa yang sama, selaku pimpinan wanita di Malaysia, Sendi memfokuskan sasaran utamanya adalah membela wanita, anak-anak dan keluarga yang kelak menjadi mangsa akibat ketagihan pertaruhan judi oleh suami-suami mereka.

"Di kala seluruh dunia bersorak gembira meraikan kemenangan pasukan bola sepak kegemaran mereka, jangan ada wanita di Malaysia yang teraniaya oleh angkara judi bola ciptaan Umno BN," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sementara itu, Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mengubah tarikh penghantaran memorandum membantah judi bola sepak Piala Dunia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausahanya, Suhaizan Kaiat, berkata memorandum yang pada awalnya dijadualkan diserahkan kepada Najib esok di Parlimen dipinda kepada 15 Jun.

Katanya, sehingga kini sebanyak 22 badan bukan kerajaan (NGO) menganggotai GMJ bagi menyatakan bantahan dan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi tersebut yang dianugerahkan kepada Kumpulan Berjaya.

Menurutnya lagi, kemuncak bantahan tersebut ialah Himpunan 100,000 Rakyat Membantah Judi Sukan yang akan diadakan pada 3 Julai ini untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Harakahdaily/-

Jawatankuasa Disiplin dibincang pada Muktamar PAS

24 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR,7 Jun: Isu keanggotaan dalam Jawatankuasa Disiplin PAS antara yang akan dibincangkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu yang bermula Jumaat ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu temubual bersama Harakahdaily berkata, perkara tersebut telah diusulkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk dibahaskan para perwakilan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Naib Presiden PAS pernah mengutarakan cadangan agar keanggotaan jawatankuasa itu dipilih dari kalangan bukan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Ianya bagi mengelak sebarang tanggapan negatif semua pihak dan mahu jawatankuasa bukan sahaja membuat hukuman adil, tapi dilihat adil.

Selain isu jawatankuasa disiplin, isu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) turut akan diperbahaskan merangkumi aspek kedudukan dan ruang lingkup anggota dewan itu di dalam parti.

Isu-isu lain yang turut sama akan menghangatkan perbahasan termasuk isu perkhidmatan firma perunding APCO Worlwide dijangka turut akan menjadi perbahasan hangat perwakilan muktamar.

Selain APCO, isu kelulusan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia 2010 juga dikatakan bakal menjadi topik hangat perbahasan.

Ianya ekoran kerahan besar-besaran rakyat oleh Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) untuk Himpunan 100,000 Rakyat pada 3 Julai ini yang menuntut penyertaan seluruh ahli dan penyokong PAS.

Manakala isu lompat parti pula menuntut satu resolusi konkrit dari PAS pada muktamar kali ini berdepan pilihan raya umum PRU ke-13 nanti.

Untuk PRU ke-13, kata Ustaz Idris, muktamar kali ini akan memberi fokus ke arah persediaan awal pilihan raya dengan melihat aspek yang perlu diperkemaskan sebelum menjelang pilihan raya.

Harakahdaily/-

Anwar: K'jaan P Pinang lebih baik kepada umat Islam

24 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Terence Netto

Pemimpin Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya pembangunan ekonomi berjalan seiringan dengan keadilan sosial.

Bercakap selepas merasmikan pembukaan sebuah surau di Komtar, Pulau Pinang, Anwar memuji kerajaan negeri kerana menjaga keperluan penduduk Islam di Pulau Pinang walaupun terpaksa berdepan dengan tuduhan yang ia meminggirkan mereka.Anwar berkata, bantuan kerajaan Pulau Pinang untuk pendidikan dan kebajikan sosial orang Islam jauh lebih tinggi daripada apa yang disediakan selama pemerintahan BN sebelum ini.

Beliau juga bersetuju kegunaan masjid dan surau diperluaskan dan bukan setakat tujuan ibadah semata-mata.

Tegasnya, masjid dan surau bukan hanya untuk bersembahyang sahaja, tetapi juga untuk memacu kemajuan kesejahteraan umat Islam.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan pemimpin PKR termasuk timbalan ketua menteri, Mansor Othman dan exco negeri, Abdul Malek Abul Kassim. Surau tersebut terletak di tingkat empat bangunan yang menempatkan pejabat pentadbiran negeri.

Sebelumnya, Anwar juga bercakap dalam taklimat selama sejam untuk pegawai kerajaan negeri di mana beliau berkongsi pengalamannya selama menjadi menteri.

Katanya, perkhidmatan awam yang profesional dan cekap menjadi asas penting bagi pembangunan ekonomi dan keadilan sosial.

Malaysiakini/-

200 pendatang cuba merusuh di depot Ajil

24 Jamadil Akhir 1431 H

Hampir 200 warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu, cuba merusuh dan meloloskan diri dari pusat tahanan itu dalam kejadian bermula pukul 9.30 malam tadi.

Tindakan agresif dipercayai dua dari kumpulan rakyat Vietnam dan Myanmar yang bergaduh sesama sendiri itu bagaimanapun dapat dihalang pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Terengganu, Mahasan Mustapa berkata kejadian dipercayai bermula daripada pergaduhan dua pendatang asing tanpa izin Vietnam yang baru dimasukkan ke pusat itu.

"Pergaduhan bagaimanapun merebak kepada hampir 200 tahanan di blok lain. Mereka cuba memecahkan pintu dan ada daripadanya mengambil peluang untuk melarikan diri dari depot berkenaan namun cubaan mereka gagal.

"Dalam kejadian itu, satu pintu blok dipecahkan bagaimanapun mereka tidak dapat melepasi dua lagi pintu dan gril di situ," katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya keadaan dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 12 malam tadi dengan bantuan pihak polis.

Katanya kes itu dirujuk kepada Kedutaan Vietnam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kira-kira lapan pendatang asing Vietnam cedera ringan dalam kejadian itu, dipercayai daripada tindakan ganas mereka memecahkan pintu itu.

Dalam kejadian itu sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang turut dihantar ke depot berkenaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penghuni cuba membakar pusat itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata panggilan diterima kira-kira pukul 10.15 malam dan anggotanya hanya pulang pukul 3 pagi setelah keadaan benar-benar terkawal.

Sementara itu, seorang saksi, Aminuddin Deraman,50, yang berniaga buah berhampiran depot tahanan itu berkata beliau mendengar bunyi bising kira-kira pukul 9 malam.

"Bunyinya kuat dengan hiruk pikuk dari arah dalamnya, tidak lama kemudian saya nampak polis datang dan hampir tengah malam keadaan kembali tenang," katanya.

Malaysiakini/-

GMJ: Derma tidak akan menghalalkan judi

24 Jamadil Akhir 1431 H

Janji hartawan Tan Sri Vincent Tan untuk 'menderma' kepada yayasannya adalah 'gula-gula' untuk cuba memujuk rakyat Malaysia supaya menerima sebagai halal apa yang mereka tahu memang haram, kata setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ), Suhaizan Kaiat.

"Tan Sri Vincent Tan jangan fikir rakyat Malaysia termakan dengan gula-gula RM525 juta, yang ditabur atas nama kebajikan.
"Tidak ada rakyat yang hidup bahagia kaya raya hasil daripada judi kecuali syarikat judi sahaja yang kaya raya seperti beliau. Duit yang dikaitkan dengan judi tidak boleh membawa manusia hidup bahagia," kata Suhaizan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Tan - yang memiliki syarikat Ascot Sports yang mendapat lesen judi sukan - untuk menderma RM525 juta, hasil jualan Ascot kepada Berjaya Corps - konglomerat yang dikuasainya.

Tan dilaporkan berkata, sumbangan kepada Better Malaysia Foundation, yang menyediakan biasiswa dan bantuan perubatan, adalah untuk menolak dakwaan yang beliau meraih keuntungan daripada hasil jualan Ascot.

Suhaizan berkata, Tan seolah-olah cuba membayar segala tentangan rakyat Malaysia terhadap judi sukan dengan derma tersebut.

"Apalah maknanya dengan angka RM525 juta dibandingkan dengan kerosakan terhadap keluarga, masyarakat dan negara ekoran daripada kelulusan lesen judi sukan ini.

"Negara terpaksa membayar kerosakkan ini dengan nilai yang jauh lebih besar daripada derma yang akan disalurkan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, GMJ akan berkempen seluruh negara membantah lesen judi sukan sehingga lesen ini ditarik balik.

"Saya menasihatkan kepada Tan Sri Vincent Tan agar menyerahkan duit derma tersebut kepada pihak yang meluluskan lesen judi tersebut. Barangkali mereka memerlukan," tambahnya.

Malaysiakini/-

6 aktivis M'sia di MV Rachel Corrie dibebaskan

24 Jamadil Akhir 1431 H

Enam aktivis keamanan Malaysia atas kapal MV Rachel Corrie yang ditawan ketika dalam pelayaran ke Gaza, telah dibebaskan hari ini oleh Israel di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan pada kira-kira jam 5.20 petang waktu Malaysia.

Sukarelawan Malaysia itu yang berada atas kapal itu bagi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza terdiri daripada anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua wakil media Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari stesen televisyen swasta TV3.

MV Rachel Corrie, kapal terakhir dalam flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepung Israel, telah ditawan oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira jam 2.45 petang (waktu Malaysia) semalam dan diiring ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Turut berada atas kapal itu bersama aktivis keamanan Malaysia itu ialah bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Dennis Halliday, pemenang anugerah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham daripada Free Gaza Movement dan penerbit filem dokumentari Fiona Thompson.

Misi bantuan itu ditaja oleh PGPO, sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia.

Kapal Rachel Corrie dinamakan sempena nama wanita Amerika yang terbunuh akibat dirempuh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, semasa cuba membantah tindakan meroboh rumah.

Malaysikini/-