21 April 2009

MB Kelantan tunai umrah

KOTA BHARU, 20 April : - Menteri Besar, Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat berlepas ke tanah suci Makkah kira-kira jam 3 petang tadi bagi menunaikan ibadat umrah.

Turut serta dalam rombongan itu isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anak bongsunya Nik Asma Salsabila, Setiausaha Sulit Khasnya, Rushdi Abdullah serta dua
lagi pengiring.

Menteri Besar dijangka berada di Makkah selama 12 hari dan dijangka pulang ke tanah air pada 3 Mei ini.

Setiausaha Politiknya, Haji Anuar Bakhri Harun berkata, pagi semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz melancarkan sebuah novel bertajuk 'Bidadari Dari Syurga' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku ditulis seorang penulis muda, Ilis Sarah yang diterbit An Bakri Publika berharga RM12.90. Bukit berkenaan dilancar sempena Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung selama 10 hari bermula 16 April lalu.

Menurut Anuar pada sebelah malam pula Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan ceramah di Taman Melawar bersama anggota Exco kerajaan negeri Perak, Nga Ko Ming dan Ann Wan Seng. Harakahdaily.

Zambry perolehi perintah yang tidak laku

Mohamed Hanipa Maidin

Pembaca ruangan ini masih bertanya kepada saya adakah dua perintah perisytiharan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan pada 15 April lalu bahawa penggantungan Zambry dan enam exconya oleh Speaker Perak dibatalkan membolehkan mereka menghadiri sidang DUN Perak nanti.

Jawapan saya adalah tidak! Berikut adalah alasan-alasan saya.

a. Apa yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya hanyalah perintah deklarasi (perisytiharan) semata-mata. Tidak lebih dari itu. Di dalam undang-undang perintah deklarasi yang diperolehi oleh Zambry dan enam exconya tidak membawa apa-apa makna kerana perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (coercive force).

Pakar undang-undang Pentadbiran, Prof M.P Jain secara jelas menyatakan:

"A declaration merely declares what the legal rights of the concerned parties are. A declaratory order has no coercive force as such nor does it quash any decision which may have been taken by an administrative authority."

(Perintah deklarasi hanya sekadar satu perisytiharan hak pihak-pihak yang terbabit dari segi perundangan. Perintah deklarasi tidak mempunyai kuasa pemaksaan (memaksa seseorang mengikut perintah tersebut). Perintah tersebut juga tidak memadam, membatalkan atau mengenepikan sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkuasa pentadbiran.)

b. Memandangkan Zambry dan enam exconya hanya memperolehi perintah deklarasi, perintah tersebut tidak meletakkan sebarang tanggung jawab (impose an obligation) ke atas Sivakumar untuk mematuhinya kerana dari segi rekod di dalam DUN di Perak, perintah penggantungan tersebut masih wujud selagi tidak dipadam oleh Mahkamah (not quashed by the court).

Untuk memudahkan kefahaman umum, saya berikan contoh berikut:

Kita ambil satu kes misalnya seorang menyaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mengekalkan nama di dalam kad pengenalannya sebagai Ali bin Abu sedangkan beliau mendakwa telah menukar agama dan memohon namanya ditukar kepada John Abraham.

Katakan beliau meminta satu perintah deklarasi bahawa tindakan atau keputusan JPN yang tidak menukar namanya kepada John Abraham adalah tidak sah.

Katakan Mahkamah bersetuju dengan beliau dan mengisytiharkan bahawa keputusan atau tindakan JPN adalah tidak sah dan Mahkamah juga mengisytiharkan nama beliau adalah John Abraham. Maka persoalan yang timbul adalah, adakah JPN wajib menukar namanya kepada John Abraham selepas beliau mendapat perintah perisytiharan tersebut?

Dari segi undang-undang, JPN tidak wajib menukar namanya kepada John Abraham kerana Mahkamah hanya mengisytiharkan tindakan JPN adalah tidak sah tanpa memerintahkan nama Ali bin Abu dipadam dan ditukar kepada John Abraham.

JPN hanya wajib menukar nama Ali bin Abu kepada John Abraham jika pemohon mendapat perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan/memadam (quash) keputusan JPN tersebut dan selanjutnya perintah mandamus iaitu perintah mengarahkan JPN menukar nama beliau dari Ali bin Abu kepada John Abraham.

Selagi tidak ada perintah 'certiorari' dan perintah mandamus tersebut maka nama beliau akan kekal di dalam kad pengenalan sebagai Ali bin Abu meskipun Mahkamah mengisytiharkan namanya John Abraham.

c. Dalam konteks kes Zambry lwn Sivakumar apa yang sepatutnya peguam Umno buat adalah selain mendapatkan perintah perisytiharan (deklarasi) bahawa penggantungannya tidak sah, Zambry juga sepatutnya memohon Mahkamah mendapatkan perintah-perintah berikut iaitu perintah 'certiorari' iaitu perintah mengenepikan atau memadam keputusan Sivakumar yang menggantung beliau dan enam exconya, dan juga perintah mandamus iaitu perintah meminta Sivakumar menbenarkan beliau dan enam exconya hadir ke dalam sidang DUN Perak.

d. Tanpa perintah 'certiorari' dan mandamus tersebut maka perintah perisytiharan yang Zambry dan enam exconya perolehi dari Mahkamah adalah satu perintah yang tidak membawa apa-apa kesan ke atas Sivakumar. Berhadapan dengan perintah seperti itu Sivakumar dengan tenang akan menjawab begini: "So what!"

Mungkin pembaca ingin bertanya mengapa Zambry dan enam exconya tidak memohon perintah 'certiorari' dan mandamus sebaliknya hanya memohon perintah perisytiharan sahaja.

Ada dua sebab mengapa mereka tidak berbuat demikian.

Sebab Pertama adalah peguam Zambry sendiri secara jelas mengakui semasa penghujahan di Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry tidak boleh memohon perintah 'certiorari' dan mandamus kerana kedua-dua perintah tersebut tidak boleh dipohon di dalam kes ini disebabkan doktrin pengasingan kuasa (separation of powers).

Dengan lain perkataan peguam Zambry mengakui bahawa berdasarkan doktrin pengasingan kuasa, Mahkamah tidak boleh memerintah Sivakumar sebagai Speaker untuk sama ada memadamkan keputusannya atau membenarkan Zambry masuk dan hadir di dalam persidangan DUN Perak.

Hatta jika kita lihat kepada 10 perintah yang Zambry pohon kesemuanya adalah perintah berbentuk perisytiharan sahaja. Malahan Mahkamah juga tidak membenarkan perintah perisytiharan supaya beliau dan enam exconya untuk masuk, menghadiri dan mengambil bahagian di dalam sidang DUN Perak.

Sebab kedua adalah Zambry dan enam exconya telah tersalah memilih prosedur Mahkamah. Jika beliau ingin memohon perintah 'certiorari' dan mandamus, beliau perlu membuat permohonan semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dan bukannya melalui Saman Pemula seperti yang mereka buat.

Memandangkan mereka telah tersalah prosedur maka mereka dengan berat hati terpaksa berpuas hati dengan perintah perisytiharan yang tidak membawa apa-apa makna.

Atas dasar itu juga peguam Sivakumar juga telah berhujah bahawa perintah perisytiharan yang Zambry pohon sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah dan meminta Mahkamah tidak melayan perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry tersebut.

Hujah peguam Sivakumar adalah berasaskan apa yang dinyatakan di dalam kes Fan Yew Teng vs Government of Malaysia di mana Mahkamah telah menerima pakai apa yang dinyatakan oleh Erskine May di dalam buku Parlimentary Procedure (17th Edition) di mana penulis telah menyatakan:

"The decisions of the court are not accepted as binding the house in matters of privilege, nor the decision of the House by the courts."

(Keputusan Mahkamah tidak diterima sebagai mengikat Parlimen atau DUN di dalam perkara menyentuh keistimewaan, begitu juga keputusan Parlimen atau DUN tidak mengikat Mahkamah.)

Mengapa? Mungkin pembaca bertanya mengapa Mahkamah membenarkan juga perintah yang tidak berfaedah tersebut? Jawapan mudah saya adalah ia hanyalah perintah untuk mengambil hati Umno. Perumpamaan yang mudah, ia adalah ibarat hadiah saguhati kerana menyertai pertandingan.

Jenis Umno ini, kita beri mereka wang satu sen pun mereka melonjak gembira sedangkan satu sen boleh beli apa?

Seperkara lagi yang saya perlu kongsi di sini adalah mengenai sidang DUN di bawah pokok yang diadakan pada 3 Mac 2009. Isu keabsahan (validity) persidangan di bawah pokok tersebut juga merupakan salah satu isu yang dirujuk oleh Zambry ke Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak.

Isu yang dirujuk adalah sama ada sidang bawah pokok pada 3 Mac 2009 adalah sah apabila ianya dibuat tanpa perkenan Sultan Perak.

Selepas mendengar hujah peguam Zambry dan peguam Sivakumar, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat apa-apa keputusan terhadap isu keabsahan sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 tersebut. Secara tersirat kita boleh menyimpulkan bahawa Mahkamah bersetuju bahawa sidang DUN di bawah pokok adalah sah.

Memandangkan tiada perintah Mahkamah yang membatalkan keputusan sidang bawah pokok, Umno terpaksa menerima hakikat berikut:

a. Persidangan DUN di bawah pokok telah mengesahkan (endorsed) keputusan Sivakumar yang menggantung Zambry dan enam exconya selama 18 bulan dan 12 bulan.

b. Dengan pengesahan tersebut maka keputusan penggantungan tersebut adalah sah dan masih mengikat Zambry dan enam exconya yang lain.

c. Di dalam samannya Zambry mengatakan keputusan Sivakumar adalah tidak sah kerana keputusannya tidak disahkan oleh DUN Perak. Memandangkan sidang DUN Perak pada 3 Mac 2009 telah mengesahkan keputusan Sivakumar yang dibuat pada 18 Februari 2009 dan memandangkan Mahkamah Persekutuan tidak membuat apa?apa keputusan yang mengisytiharkan sidang bawah pokok adalah tidak sah, maka keputusan DUN Perak di bawah pokok adalah sah dan mengikat Zambry serta enam exconya.

d. Apa yang Mahkamah putuskan hanya melibatkan keputusan Sivakumar pada 18 Februari dan bukannya keputusan DUN Perak pada 3 Mac 2009.

Kesimpulannya Umno hanya dapat perintah Mahkamah yang tidak membawa apa-apa faedah.

Nota: Hanipa Maidin ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat dan ahli panel penasihat undang-undang, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin.

Muktamar Pas 2009; suatu transformasi akan berlaku!

Ustaz Haji Idris Mohammad Al Haqqani

Bagi ahli-ahli Parti Islam Se Malaysia (PAS), tahun 2009 adalah merupakan tahun yang penting bagi kalendar ahli PAS kerana pada tahun ini perwakilan akan membuat pilihan mereka secara demokrasi yang sihat untuk memilih pemimpin baru bagi PAS.

Muktamar yang akan dilansungkan pada bulan Jun ini bertempat di Stadium Malawati Shah Alam Selangor akan menjadi medan untuk bermuhasabah secara jujur dan telus bagi mengkaji keupayaan PAS untuk terus kekal relevan dalam arus perdana politik Malaysia.

Slogan “PAS untuk semua” yang diketengahkan pada Pilihanraya Umum tahun lalu akan terus dipraktikkan bukan sahaja sebagai slogan pilihanraya bahkan dalam polisi kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah secara kolektif dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Di samping melakukan muhabah dan post mortem untuk mempertahankan survival parti sebagai parti politik dan dalam masa yang sama sebagai sebuah gerakan Islam yang diiktiraf di peringkat global, muktamar yang akan berlansung ini juga akan memilih pemimpin-pemimpin baru yang diyakini sebagai sebuah team yang akan berhadapan dengan pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan dalam tempoh setahun Najib Razak menjadi PM.

Cakap-cakap di peringkat grassroot parti, majoriti ahli-ahli PAS nampaknya mahukan supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi sebagai Presiden parti yang baru bagi menggantikan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memimpin PAS dalam menjana arus perubahan politik nasional dalam PRU yang akan datang.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula, ahli-ahli parti mahukan supaya Haji Mohammad Sabu yang lebih dikenali sebagai Bang Mat diberikan peluang untuk memegang amanah tersebut yang dalam masa yang sama menjadi seorang Timbalan Presiden yang berkesan kepada Presiden parti. Ianya ibarat Tok Guru Haji Hadi kepada Almarhum Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden pula, ahli-ahli akan terus mengekalkan Haji Husam Musa di samping mengangkat muka baru termasuk Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan Prof Dr Mahfuz Muhamad.

Haji Husam yang mempunyai rekod dan prestasi yang baik dalam parti dan kerajaan negeri Kelantan dilihat akan terus kekal manakala Haji Nizar pula bintangnya yang semakin cerah berikutan krisis perlembagaan dan politik di Perak dan Prof Dr Mahfuz Muhamad mewakili ulama profesional yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Johor. Beliau adalah bekas Profesor Syariah Universiti Malaya.

Ustaz Haji Ahmad Awang yang ketika ini menjawat sebagai Naib Presiden difahamkan akan mengubah haluan untuk memimpin Dewan Ulama PAS Pusat dalam usaha untuk memperkasa Dewan Ulama mendepani pelbagai cabaran dan isu syariah ketika ini.

Manakala rata-rata ahli akar umbi pemuda PAS mahukan supaya Dr Mujahid Yusuf Rawa memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat bagi berhadapan dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang baru iaitu Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar. Dr Mujahid tidak asing lagi bagi Dewan Pemuda PAS kerana beliau pernah menjadi Exco Dewan tersebut selama beberapa penggal. Dengan latar belakang pendidikan beliau sehingga ke peringkat doktor falsafah, beliau diyakini mampu bersemuka dan berdebat dengan Sdr Khairy yang berkelulusan Oxford di samping meningkatkan lagi tahap sokongan pengundi muda kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi Dewan Muslimat PAS Pusat yang setiap kali pemilihan tidak pernah sunyi daripada pertandingan itu difahamkan akan berlaku pertembungan bagi jawatan Ketua Muslimat pada kali ini di antara penjawat sekarang dengan Dr Siti Mariah Mahmud yang pernah bertanding sebagai Naib Presiden PAS pada pemilihan yang lepas.

Bagi jawatan AJK PAS Pusat pula, antara yang akan diketengahkan adalah gandingan muka lama dan baru antaranya ialah Sdr Salahudin Ayub, Ustaz Muhamad Daud Iraqi, Dr Hatta Ramli, Sdr Anuar Tahir, Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Mahfuz Omar, Ir Khalid Samad, Sdr Ann Wan Seng, Ustaz Ismail Kamus, Dr Dzulkifli Ahmad, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Sdr Kamarudin Jaafar, Ustaz Idris Ahmad, Sdr Anuar Tan, Dr Syed Azman Nawawi, Ustaz Taib Azzamudin dan beberapa orang lagi.

Adalah sesuatu yang perlu dipertegaskankan di sini bahawa tohmahan yang dilakukan oleh beberapa media massa dan penulis politik upahan pihak tertentu yang mendakwa bahawa pertembungan dalam PAS kali ini adalah di antara pro Pakatan Rakyat dengan Pro Muqabalah atau di antara Pro Liberal dengan Ustaz Ulama adalah mainan jahat mereka kerana seperti mana yang telah diperjelaskan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa di dalam PAS tidak ada sama sekali Team A atau Team B.

Sesungguhnya di dalam PAS sekiranya terdapat sesuatu perbezaan pendapat atau percanggahan ijtihad ianya adalah suatu rahmat yang tidak sesekali akan membawa kepada perpecahan kepada PAS itu sendiri. Ianya adalah kerana ahli-ahli PAS telah dipadukan dengan wehdatul fikri demi memastikan tertegaknya di Malaysia sebuah negara yang disifatkan oleh al Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur!

24 Rabiulakhir 1430 bersamaan dengan
20 April 2009
idris.haqqani@gmail.com

BN TARIK DIRI SEPERTIMANA ROM MENARIK DIRI DARI PERANG TABUK

Dr Fikrah

Berita semalam (19 April) telah menyiarkan bahawa Barisan Nasional telah menarik diri dari bertanding di kawasan Penanti, Pulau Pinang. Kenapa ya? Tidak mengapa, mungkin Barisan Nasional mempunyai strateginya yang tertentu, tetapi, mungkin juga mereka sudah berputus asa. Atau adakah kemungkinan Najib dirasuah oleh Pakatan Rakyat supaya tidak bertanding? Inilah tanggapan yang lucu, dan tidak perlu difikirkan rasionalnya.

Tetapi, walaubagaimanapun, saya tertarik untuk menceritakan Sirah Nabi Muhammad SAW, yang menunjukkan perkara yang sama. Memang tidak dinafikan, musuh-musuh Allah SWT pernah menarik diri daripada menyertai peperangan bersama Muslimin, walaupun pada mulanya mereka gah untuk menunjukkan kehebatan mereka. Mungkin ia sedikit sebanyak boleh dilihat pada apa yang terjadi hari ini di Pulau Pinang.

Perang Tabuk telah berlaku selepas pembukaan Kota Mekah. Umat Islam ketika itu sudah berduyun-duyun memeluk Agama Islam dan Islam dapat berkembang dengan baik di Mekah. Mekah telah pun menjadi pusat pemerintahan Nabi Muhammad SAW, walaupun pada mulanya Madinah. Perang Tabuk berlaku susulan daripada Perang Mu’tah.

Perang Mu’tah tercetus akibat daripada pembunuhan al Harits bin Umair, seorang utusan daripada Nabi Muhammad SAW kepada Pemerintah Busra. Al Harits telah dihalang oleh Syurabil bin Amru al Ghassani, seorang Gabenor Kaisar di Wilayah Balqa, Syam. Beliau telah menangkap al Harits, mengikatnya kemudian memancung lehernya.

Apabila berita ini disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, Rasulullah SAW mengisytiharkan perang terhadap Rom yang merupakan kuasa besar ketika itu. Di dalam Perang Mu’tah, ramai umat Islam terbunuh, dan pimpinan-pimpinan hebat orang Islam turut sama terbunuh. Begitu juga dengan tentera Rom sendiri.

Tentera Rom melihat bahawa kerajaan Nabi Muhammad SAW di Kota Mekah itu sangat memberi ancaman kepada Rom. Mereka bimbangkan kuasa kerajaan Islam akan menyaingi mereka. Manakala di pihak Islam pula, misi untuk menuntut bela terhadap pembunuhan utusan dan beberapa tentera Islam dilihat masih gagal.

Lalu, setelah menerima berita bahawa Rom sedang membuat persiapan untuk menentang Islam, maka Nabi Muhammad SAW pun segera meminta supaya semua orang Islam bersiap untuk bertempur sekali lagi dengan mereka. Orang Arab sendiri mengetahui bahawa tentera Rom adalah kuasa besar, dan banyak membantai tentera Islam semasa Mu’tah.

Di Malaysia pula, Barisan Nasional sudah lama menggunakan taktik kotor untuk menentang PAS setelah mereka melihat beberapa ulama’ “membahayakan” mereka. Dahulu mereka melihat PAS bakal menjadi penyaing mereka, lalu mereka telah mengadakan sekatan-sekatan lebih awal supaya dapat menghapuskan PAS. Mereka menangkap ulama’-ulama’ dan menyumbat di dalam ISA, tidak membenarkan mereka bercakap di siaran, dan sebagainya.

Berbalik kepada Perang Tabuk. Setelah kedua-dua pihak membuat persiapan, lalu masing-masing menuju ke Tabuk untuk berperang di sana. Di Malaysia hari ini, masing-masing sedang menuju ke mana-mana Dun yang kosong untuk menguatkan jentera masing-masing.

Tabuk adalah kawasan yang begitu jauh dengan Mekah, dan persiapan ketenteraan Islam agak kurang. Umat Islam yang keluar menuju ke Tabuk, seramai 30 000 orang, dan menyebabkan kelengkapan perang berkurangan. Seekor unta ditunggangi oleh 18 orang secara bergilir, dan unta-unta tersebut ada yang disembelih di pertengahan jalan, sebagai bekalan.

Berbeza dengan tentera Rom. Mereka mempunyai kelengkapan yang cukup, seperti baju besi, kuda dan sebagainya. Manakala Islam pula, terpaksa menuju ke Tabuk yang sangat jauh kedudukannya dari Kota Mekah. Sekiranya diukur dengan akal, kita akan berkata “agak susah bagi Islam untuk menang kerana mereka terpaksa berjalan jauh dalam keadaan kekurangan bekalan. Apabila sampai, sudah pasti ada di kalangan Islam yang lemah”….

Inilah ukuran akal kita. Sama sahaja sekiranya kita mengatakan “PAS terpaksa mengutip dana daripada sumbangan ahli-ahli mereka. PAS payah untuk mendapat permit ceramah untuk menguatkan kedudukan…” Ini juga ukuran mata kita. Tetapi hakikatnya Allah sahaja yang tahu.

Ketika Baginda SAW sampai di Tabuk, mereka berpusat di kawasan berhampiran. Mereka bersiap sedia di situ untuk menentang Rom. Baginda sempat memberi ucapan kepada tentera Islam supaya tidak melihat kepada material semata-mata. PAS hari ini juga diingatkan supaya tidak berjuang untuk merebut material seperti duit, pangkat dan sebagainya.

Setelah mendengar berita ketibaan tentera Islam, Kerajaan Rom agak takut. Mereka takut disebabkan takjub dengan kesungguhan umat Islam. Sudah lah berjalan kaki berbatu-batu, kekurangan makanan, kelengkapan perang tidak mencukupi, tetapi masih sanggup menentang Kerajaan Rom, yang besar itu.

Mereka tidak berani untuk mara ke hadapan kerana bimbang bertembung dengan Islam. Lalu mereka berpecah-pecah ke sempadan negeri. Mereka merasakan bahawa menarik diri itu lebih menyelamatkan keadaan mereka daripada ribuan tentera mereka terbunuh. Seorang pimpinan Rom datang berjumpa Rasulullah SAW untuk memeterai perjanjian (tidak berperang) dan bersetuju untuk mebayar jizyah.

Di Malaysia juga berlaku perkara yang sama. Barisan Nasional telah menarik diri daripada peperangan pilihanraya Penanti. Apakah sebabnya? Adakah mereka takut dengan kesungguhan PAS atau mereka tidak ingin untuk melihat PR mengamuk lagi di Penanti sepertimana yang berlaku di Bukit Gantang? Mungkin juga mereka tidak ingin melihat kemenangan PR di Penanti sebagai satu “menang mewah”.

Salam Perjuangan.

Saintis berusia 100 tahun tetap gigih.

ROM, 19 April - Pemenang anugerah Hadiah Nobel, saintis Rita Levi Montalcini berkata, walaupun usianya 100 tahun tetapi mindanya kini lebih tajam berbanding ketika berumur 20 tahun.

Levi Montalcini yang turut berkhidmat sebagai senator seumur hidup di Itali meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 Rabu lalu, dan beliau berucap sempena majlis penghormatan terhadapnya oleh Institut Penyelidikan Otak Eropah, semalam.

Beliau berkongsi hadiah Nobel perubatan 1986 dengan rakyat Amerika Syarikat, Stanley Cohen kerana menemui mekanisme mengawal pertumbuhan sel dan organ.

"Dalam usia 100 tahun ini, saya memiliki minda yang hebat berbanding ketika saya berumur 20 tahun, terima kasih kepada pengalaman," katanya pada majlis tersebut.

Dilahirkan di Turin, Levi Montalcini mengenang semula bagaimana undang-undang anti-Yahudi pada 1930-an di bawah pemerintahan rejim Benito Mussolini Fascist memaksanya keluar daripada universiti dan membuat penyelidikan di makmal dalam bilik tidurnya di rumah.

"Saya tidak takut saat-saat sukar itu, semua yang terbaik datang daripada mereka.

"Saya patut berterima kasih kepada Mussolini kerana mengisytiharkan saya sebagai bangsa yang rendah. Ini mendorong saya kepada kerja yang menggembirakan, tetapi malangnya bukan di universiti tetapi di dalam bilik tidur," ujar saintis itu. - AP/Sirajuddin Abbas

Waran tangkap Mohamad Sabu

Mahkamah Majistert Jawi, Nibong Tebal mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya kerana gagal menghadiri perbicaraan hari ini berhubung tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas tahun lalu.

Mahkamah itu telah menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai hari ini untuk kesemua tertuduh tetapi kelibat mereka dan juga peguam tidak kelihatan apabila kes itu dipanggil.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwaraya Yusaini Anuar memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya, lapor Bernama.

Majistret Norashikin Mokhtar, yang menggantikan Majistret Mohd Izham Ali yang sedang berkursus, kemudiannya mengeluarkan waran tangkap itu serta notis kepada kesemua penjamin mereka dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Jurucakap Mahkamah Jawi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang peguam kumpulan itu yang memaklumkan bahawa mereka akan hadir di mahkamah itu esok untuk membuat rayuan membatalkan waran berkenaan.

Mohamad Sabu, 53, dan sembilan penyokongnya Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50;

Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said, 42; dan Mohamad Salleh, 47; didakwa menghalang Supt Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pemimpin PAS itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran plaza tol Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Disember tahun lalu. Malaysiakini

Kenyataan Media : ADUN Titi Serong

Speaker ada hak menggantung dan melantik Setiausaha Dewan Perak yang baru.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Abdul Rahman Hashim telah mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan menggantung Setiausaha DUN Perak, Hj. Abdullah Antong Sabri adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Abdul Rahman berkata, jawatan Setiausaha DUN Perak adalah jawatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) Gred M52 yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri melalui waran perjawatan yang ditandatangani oleh Menteri Besar Perak.

"Proses pelantikan dan pengisian jawatan itu memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selepas itu selaku SUK kerajaan negeri Perak dan bagi pihak kerajaan negeri, saya akan mengeluarkan surat rasmi pelantikan Setiausaha DUN Perak.

Saya tidak menafikan mengenai status dan proses pelantikan Abdullah sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) Gred M52 seperti kenyataan beliau adalah benar dan untuk makluman jawatan sebenar beliau di Pejabat SUK sekarang adalah Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (PSUK).

Namun begitu saya tegaskan di sini sejak selepas merdeka kedudukan di Pejabat SUK terdapat dua pentadbiran berbeza dengan dua ketua yang berbeza serta fungsi dan bidang tugas berbeza :

1. Pejabat Menteri Besar Perak - Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengendalikan perjalanannya.

2. Pejabat Speaker DUN Perak -Setiausaha DUN Perak (SUD) mengendalikan urusan berkaitan Persidangan DUN.

Kesimpulan awalnya SUD yang juga PSUK berketuakan dua orang iaitu SUK dan Speaker DUN.

Oleh sebab di negeri Perak tidak memperuntukkan sebagaimana di beberapa negeri lain memperuntukkan Speaker DUN boleh melantik seorang pegawai khusus memegang jawatan SUD, satu amalan yang telah dibuat sekian lama jawatan itu dilantik dengan meminjam PSUK memegang jawatan itu. Pelantikannya tidak menganggu gred penggajian dan beberapa tugas asal beliau antaranya sebagai Setiausaha Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Perlu diingatkan sebelum ini tidak berlaku krisis sehingga menyebabkan PSUK yang dilantik sebagai SUD tidak mengikut arahan dari Speaker DUN.

Mustahil seorang yang dilantik untuk memegang jawatan sebagai SUD tidak boleh menerima arahan speaker dan sebaliknya melaksanakan tugas dengan arahan dari bos pertamanya SUK bukannya Speaker DUN.

Maka berhak lah Speaker boleh menentukan siapakah yang dia mahu menjadi SUD dan dalam keadaan ini dia menggantung SUD yang dipinjam itu dengan SUD yang baru iaitu, Ust. Misbahul Munir Hj. Masduki. Mana mungkin Speaker boleh mempunyai seorang SUD yang melakukan kerja tanpa pengetahuannya termasuklah dalam menentukan tarikh persidangan 7 Mei akan datang.

Kerana itu saya mencabar Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim untuk menunjukkan apa-apa dokumen yang membenarkan bahawa jawatan SUD mutlak dan tidak boleh ditukar.

PSUK yang cuma dipinjamkan sementara kepada Pejabat Speaker DUN bagi mengendalikan Urusan Persidangan DUN boleh ditukar oleh Speaker dan tindakan Speaker menggantung dan melantik SUD baru adalah sah dan boleh dilaksanakan.

20 April 2009:

Drs. Khalil Idham Lim.
ADUN Titi Serong/
Pengerusi kelab penyokong Kerajaan Perak
Pakatan Rakyat.

Eli kunjungi Nik Aziz dengan imej baru.

Oleh : Hamdan MS

KOTA BHARU, 20 April: Adun kontroversi, Elizabeth Wong telah membuat kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasminya, di JKR 10 Kota Bharu.

Elizabeth kelihatan bersama seorang teman dan seorang pengawal peribadi telah membuat kunjungan tersebut pada Sabtu.

Pertemuan selama 40 minit itu juga merupakan pertemuan empat mata antara beliau dan Nik Aziz.

Menurut Eli, pertemuan tersebut berlaku jam 2 petang dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS itu kerana memberi sokongan kepada beliau sebelum ini.

"Saya akan memberi fokus kepada kerja yang telah ditangguhkan dan bersemangat untuk kembali berkhidmat untuk rakyat," jelasnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Ditanya butiran pertemuan itu, Elizabeth tersenyum dan berkata bahawa Nik Aziz seorang yang bertimbang rasa kepada kesnya dan Eli berterima kasih kepada Mb Kelantan itu.

Elizabeth sebelum ini dikaitkan dengan isu gambar yang tersebar di internet telah kembali bertugas setelah dua bulan bercuti.

Beliau menerima kembali jawatan sebagai Adun Bukit Lanjan dan juga Exco kerajaan Selangor.

Beliau juga berpendapat bahawa pandangan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin sebagai pandangan peribadi dan beliau juga masih bersahabat baik dengan Zulkifli. Siasahdaily.

Kenyataam Media YB V.Sivakumar.

Speaker Difitnah Oleh Pihak Tidak Bertanggungjawab

Saya rasa terperanjat dengan berita yang disiarkan dalam Akhbar NST hari ini. Menurut Akhbar NST ada pihak yang mengatakan bahawa saya sedia maklum tentang Sidang DUN pada 7 Mei 2009 dan sayalah yang memberi arahan untuk mengeluarkan notis tersebut. Saya membantah sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Orang yang membuat kenyataan akhbar itu mengatakan bahawa saya ‘tipu’.

Saya tidak akan membiarkan perkara ini. Ini merupakan satu lagi usaha untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya. Kalaulah tuduhan yang dibuat itu benar kenapa pula orang yang mengeluarkan kenyataan itu tidak berani memberi identitinya dalam akhbar. Kenapa hanya mengatakan sebagai orang yang ada kena-mengena dengan Pejabat Menteri Besar.

Saya tidak diberitahu tentang Persidangan 7 Mei 2009. Pada 16 April 2009 (Khamis) saya ada dengar maklumat daripada salah seorang ADUN bahawa sidang DUN akan diadakan pada 7 Mei 2009. Menurut beliau maklumat ini diperolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Saya tidak tahu apa-apa tentang sidang DUN tersebut sehingga hari itu. Saya mengharapkan perkara itu akan dimaklumkan kepada saya secepat yang mungkin. Pada keesokan harinya iaitu pada 17 April 2009 (Jumaat), saya telah menerima panggil telefon daripada beberapa orang ADUN untuk menanyakan tentang notis yang diterima oleh mereka. Saya rasa begitu marah kerana notis dikeluarkan tanpa pengetahuan saya. Notis telah dihantar ke Pejabat DAP untuk ahli-ahli Dewan Negeri DAP. Untuk ahli-ahli yang lain saya tidak ada maklumat bagaimana ia diserahkan.

Selepas itu, saya menghubungi Pejabat Speaker saya untuk menanyakan samada saya menerima apa-apa surat berkaitan Persidangan DUN pada 7 Mei 2009. Saya diberitahu bahawa satu notis telah dihantar ke pejabat saya lebih kurang jam 10 pagi. Notis yang sama telah dihantar oleh Setiausaha Dewan kepada semua ADUN-ADUN yang lain. Saya telah melihat notis itu lebih kurang 1 petang. Saya hanya berjumpa dengan Setiausaha Dewan En Abdullah Antong lebih kurang jam 3 petang selepas beliau balik daripada sembanyang Jumaat. Perjumpaan saya dengan Setiausaha Dewan itu adalah selepas notis dikeluarkan olehnya tanpa sebarang rundingan dengan saya.

Dalam perjumpaan informal itu, saya juga tidak melihat apa-apa dokumen daripada Istana yang mengesahkan persidangan pada 7 Mei 2009. Saya hanya diberitahu tentang persidangan itu selepas notis dikeluarkan dan bukan seperti mana yang dituduh dalam Akhbar NST. Saya akan membuat siasatan penuh mengenai maklumat palsu yang disiarkan dalam Akhbar NST hari ini. Tindakan ini amat memalukan dan mencemarkan nama saya sebagai Speaker Dewan Negeri Perak.

20 April 2009.
V.Sivakumar
Yang Dipertua Dewan Negeri
Perak Darul Ridzuan
http://speakforperak.blogspot.com/


Respon mengenai tulisan "Tarian Wanita di Festival Asean 09 (Mesir) suatu Teguran Ikhlas"

Tulisan dari seorang pengirim Email dari Mesir yang saya tidak siarkan identitinya ternyata menimbulkan kontroversi yang memerlukan penyelesaian secara matang dan adil.

Saya melihat beberapa tulisan dan kenyataan lanjutan dari ustaz Hairul Nizam mantan presiden PMRAM berkenaan perkara tersebut di http://hairulnizammathusain.blogspot.com bolehlah dirujuk sebagai penjelasan tambahan kepada kedua-dua belah pihak.

Perkukuhkan Pakatan Rakyat : Presiden PAS.

Oleh : Ismail Hashim

BUKIT GANTANG, 20 April: Kerjasama antara parti-parti politik yang berjuang menegakkan kebenaran dalam Pakatan Rakyat (PR) perlu diperkukuhkan bagi menghadapi segala situasi politik yang tidak konsisten mutakhir ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa bentuk kerjasama yang dijalin antara PAS dalam PR sangat berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Umno dalam BN sejak sekian lama.

Menurutnya, PAS tetap berpegang teguh dan istiqamah dengan dasar perjuangan parti tanpa sedikit pun menggadai prinsip tidak seperti mana Umno yang bergabung dalam BN tetapi langsung tidak menguntungkan bangsa Melayu, Islam dan masyarakat terbanyak.

Umno selama lebih 50 tahun, hujahnya, berkawan dengan parti bukan melayu gagal memberikan gambaran salah terhadap Islam sehingga mereka langsung tidak dapat mengenali agama suci ini dengan pandangan positif dan betul.

"Dalam feqah politik Islam, kerjasama wala’ diharamkan kerana menggadai prinsip, tidak istiqamah dan konsisten seperti mana yang dilakukan oleh Umno dalam BN, PAS pula dalam PR menjalin kerjasama tahalluf yang tetap pegangan, prinsip dan sikap,” tegas beliau lagi.

Presiden PAS sekali lagi menyatakan kejayaan PR selama ini adalah masing-masing dapat menerima fitrah manusia kerana sememangnya itu adalah kurniaan Tuhan yang mesti diterima semua pihak.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis ceramah perdana sempena majlis kesyukuran kemenangan calon PAS, Datuk Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil (PRK) 7 April baru lalu.

Turut berucap dalam Majlis yang diadakan di Markas PAS Kawasan Bukit Gantang di Bukit Chempedak dekat sini adalah Naib Presiden PAS juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Haji Nizar, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham, Adun Hutan Melintang, K Kasavan dan YDP Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Nordin.

Dalam mesyuarat bulanannya baru-baru ini, Jawatankuasa PAS Pusat menarik balik idea membentuk kerajaan perpaduan ketika di bawah Datuk Seri Abdullah sebaik sahaja Datuk Seri Najib naik menjadi PM ke-6, awal April lepas.

Sementara itu, orang ramai bertali arus di Dataran Nik Aziz, Simpang, dari pagi hingga petang 19 April, baru-baru ini bagi memeriahkan lagi majlis meraikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili calon PAS, Dato’ Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil (PRK) 7 April lalu.

Sejak jam 12 tengah hari sehinggalah menjelang 4 petang, majlis berjalan dalam keadaan baik dan teratur meskipun berlaku hujan di kawasan-kawasan sekitar sebelum itu; kemeriahannya berlangsung dalam suasana sangat memberangsangkan.

Orang ramai secara bersama dan mewakili semua kaum di dalam kawasan mengundi Parlimen Bukit Gantang; dengan jelas memberikan isyarat terhadap kehendak anggota masyarakat dalam negara ini.

Nizar terus populer.


SELAYANG,20 April: Selepas menang pilihan raya kecil Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi tokoh popular dalam PAS.

(Gambar atas: Para perwakilan mengangkat tangan apabila nama Nizar dicalonkan)

Empat dari lima PAS Kawasan yang mencalonkan pimpinan PAS, mencalonkan beliau sebagai naib presiden PAS.

Terbaru adalah PAS Kawasan Selayang dalam mesyuarat agung mereka Sabtu lepas.

Dalam mesyuarat agung itu, beliau mendapat pencalonan tertinggi berbanding Nasharudin Mat Isa yang turut dicalon untuk jawatan itu bersama Datuk Husam Musa.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicalonkan sebagai presiden, Datuk Dr Haron Din menang pencalonan untuk timbalan presiden mengalah Husam dengan 20 undi dari kira-kira 250 perwakilan yang hadir.

Ketika membahaskan usul pula, usul AJK PAS kawasan agar presiden PAS memberikan penjelasan tentang kerajaan perpaduan ditolak oleh perwakilan selepas dibahaskan.

Manakala usul tentang siber cafe mendapat perbahasan hangat perwakilan ekoran ia disalahgunakan untuk kegiatan tidak baik di kalangan pengusahanya.

Perwakilan meminta kerajaan negeri Selangor mengawalnya dengan ketat agar ia tidak disalahgunakan untuk maksiat dan perjudian. Siasahdaily.

Penghakiman kes Speaker Dun Perak, mahkamah salah masuk?

Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR, 20 April : - Dalam membuat keputusan yang menghukumkan Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Dato Dr Zambry Abdul Kadir, Mahkamah Persekutuan mengambil sikap yang berbeza dengan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengambil kira kedudukan Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Prof. Dr Abdul Aziz Bari ketika ditanya mengenai permohonan 10 perintah yang belum kesemuanya dikeluarkan. Perkara 72(1), kata Aziz, jelas memberi imuniti kepada prosiding dewan.

"Oleh kerana Tan Sri Alauddin Sheriff masih belum memberikan penghakiman bertulis, sebenarnya kita masih kabur. Tetapi ini mungkin dibangkitkan oleh peguam Sivakumar dalam prosiding di mahkamah berkenaan," katanya lagi.

Apa pun, kata pakar perlembagaan itu, keputusan mahkamah dalam kes-kes terdahulu seperti Lim Cho Hock (1979), Tun Datu Haji Mustapha (1986) dan Haji Salleh bin Jafarudin (1986) menjunjung peruntukan dan semangat Perkara 72(1) yang tidak membenarkan mahkamah menyentuh perjalanan dewan.

"Ini menyebabkan ramai yang terpinga-pinga dengan keputusan mahkamah berkenaan, sebab itu jelas menyalahi sesuatu yang telah termaktub dan diamalkan," kata beliau.

Aziz juga menimbulkan persoalan tentang kedudukan perintah-perintah yang dipohon itu di sisi undang-undang. Katanya mahkamah tidak boleh mempersoalkan kewajaran tindakan badan perundangan.

"Sebab itu mahkamah enggan membincangkan soal apakah sesuatu undang-undang itu adil atau sebaliknya", tambahnya.

Beliau berkata mahkamah, dalam melakukan semakan kehakiman, selalunya menangani soal bidang kuasa.

"Selagi sesuatu undang-undang itu masih di dalam bidang kuasa dewan berkenaan maka mahkamah akan melaksanakan undang-undang itu biar bagaimana tidak adil sekalipun", katanya.

Perintah-perintah seperti injuksi dan seumpamanya selalunya dikeluarkan ke atas badan-badan atau agensi yang diwujudkan oleh badan perundangan, baik parlimen maupun DUN.

"Jadi saya berasa musykil bagaimana peguam berkenaan boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah ke atas speaker yang merupakan sebahagian daripada dewan", tambah Aziz.

Beliau berkata perintah juga boleh dikeluarkan ke atas menteri tetapi tidak ke atas kabinet yang merupakan badan eksekutif.

"Jadi keputusan Mahkamah Persekutuan di Perak ini amat ganjil kerana ia tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan dan amalan yang telah berjalan selama ini".

Aziz juga menimbulkan sikap salah seorang hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin yang bersetuju dengan Tan Sri Alauddin Sheriff. Kata Aziz ini tidak konsisten kerana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (2006) Zulkefli tidak memberi perhatian kepada soal prosedur yang dibangkitkan oleh Anwar dalam pemecatannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

"Dalam kes saman Anwar ke atas Mahathir itu Zulkefli merujuk kepada kuasa mutlak Perdana Menteri. Sepatutnya dalam kes Sivakumar ini Zulkefli harus mengambil pendekatan yang sama dan menentang keputusan Alauddin dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang lain," katanya.

Aziz berkata kes-kes perlembagaan perlu ditangani dengan prioriti yang betul; soal prosedur harus tidak menjadi halangan kepada isu pokok.

"Prosedur dan isu teknikal bertujuan membantu dan meregulisasi bukan menafikan hak," tegasnya lagi.- TMJ/Harakahdaily.

Membazir, BN dicabar jangan letak calon!

Mohd Sabri Said

PENANTI, 20 April : - Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim mencadangkan, Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (Dun) N12 Penanti pada hari penamaan calon nanti selaras tindakan Presidenya, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mahu tumpukan pada menjana ekonomi negara daripada menghabiskan wang rakyat disebabkan pilihan raya kecil

Mengulas kenyataan Najib kononnya tindakan Fairus Khairudin meletakkan jawatan merupakan helah politik pembangkang serta pembaziran wang rakyat dan masa beliau menambah, jika begitu permintaan mereka Pakatan Rakyat cukup gembira kerana tidak payah berhadapan dengan karenah Umno dan BN lagi bila mana diistiharkan menang percuma.

"Saya sebagai Ketua Pembangkang ucap terima kasih pada Perdana Menteri yang mengatakan situasi ini adalah helah politik pembangkang, membazir wang dan masa. Bukan waktu nak berpolitik sebaliknya kena tumpukan pada ekonomi dan baik pulih sistem yang telah tempang. Maka, saya cadangkan BN dan Umno jangan letak calon di Penanti nanti, " tegasnya diiringi tepukan orang ramai.

Menurutnya, Umno dan BN tidak layak bercakap tentang pembaziran wang rakyat kerana selama ini parti itulah yang mempergunakan wang rakyat melawan pembangkang.

Mereka sambung Anwar, gunakan jentera kerajaan untuk turut berkempen, program masyarakat, projek mee segera seperti membaiki jalan, pasang tiang elektrik, paip air serta perbelanjaan pasukan polis yang berkampung terus di setiap lokasi pilihan raya kecil.

Semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu di mana sahaja dapat lihat projek dibuat begitu juga di Kuala Terengganu terlalu ramai polis dikerah ke sana dan terbaru di Bukit Gantang dan Bukit Selambau semua peruntukan digerakkan untuk mencapai kemenangan bagi membaiki imej BN dan Umno yang kini berada di tahap merudum.

"Rakyat di Penanti khususnya waktu inilah minta apa yang patut. Nak baiki surau, jalan kampung, ternakan ayam itik, peluang perniagaan dan sebagainya mintalah pada BN. Biar mereka pening tapi jangan lupa undi Pakatan Rakyat masa hari pengundian nanti. Itulah yang boleh buat sebab kita tak dapat bagi duit, " ujarnya lantang.

Menyentuh mengenai pemilihan calon beliau berkata, ia akan dibuat secepat mungkin bersama gabungan dalam Pakatan Rakyat dan akan disambung semula selepas kembali mengerjakan Umrah bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejurus menghadiri program di Timur Tengah.

"Calon mestiah individu yang sering turun padang, orang tempatan, kepimpinan kanan, mempunyai idea yang jitu membantu Kerajaan Negeri dan mempunyai sikap kerjasama yang kuat sejajar dengan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), " katanya ketika memberi ucapan ringkas di Yayasan Aman sebelum ini.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah keseluruhan pimpinan KeADILan Negeri. Turut kelihatan ialah Pesururhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Mohd Fazhil Kemi dan Adun Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman. Harakahdaily.

Nizar : Rakyat Perak mahu DUN dibubarkan.

BUKIT GANTANG, 19 April :- Saya terharu melihat warga Bukit Gantang yang datang merayakan kemenangan kerana menyokong Pakatan Rakyat dan hendakkan Negeri Perak di bubarkan DUN. Demikian antara ucapan ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa memberikan ucapan dalam Majlis kesyukuran kemenangan Bukit Gantang di sini.

Jamuan anjuran badan Perhubungan PAS Perak itu telah mengorbankan 7 ekor lembu dan beberapa ekor kambing serta lebih 100 ekor ayam. Kehadiran dari pelbagai kaum dianggarkan melebihi 10,000 orang. jamuan dimulai pada jam 12.00 tengah hari dan berakhir pada jam 4.00 petang.

DS. Nizar dan rombongan sampai sekitar jam 3.00 petang namun keadaan pengunjung masih penuh sesak menunggu kehadiran beliau yang baru habis menghadiri majlis di Istana Iskandariah Kuala kangsar bersama ADUN Pakatan Rakyat yang lain. mengulas perkara itu beliau menyifatkan kehadiran ke Istana pada hari menafikan alasan yang mengatakan kami derhaka kepada Sultan.

Tiba bersama Beliau ialah Naib Presiden PAS, Ust.Ahmad Awang, Speaker DUN Perak, V.Sivakumar, ADUN PR yang lain, Drs. Khalil idham Lim (Titi Serong), Hj. Hussin Din (Selingsing), Hj.Ramli Tusin (Gunung Semanggol), Hj.Anuar Sudin (Changkat Jong) dan Tai Sing Eng(Kuala Sepetang).

Juara akademi Nasyid, Azhan Atan juga hadir untuk memberi persembahan solonya kepada hadirin.

Beliau mengucapkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh pengundi dan petugas disemua peringkat sehingga menang di Bukit Gantang. "Yang menang adalah rakyat" jelasnya.

"Saya dan Isteri menghargainya, dan saya tahu saudara rindukan keadilan, keamanan dan toleransi antara bagsa satu sama lain" Katanya.

Selain itu harapan beliau supaya kemenangan di Bukit Gantang adalah isyarat yang jelas kepada Najib dan beliau menerima mesej ini supaya DUN Perak dibubarkan.

Pada akhir ucapannya beliau memohon kemaafan jika ada kesalah selama berkempen" Jika sekiranya dalam tempoh berkempen, kalau ada kesalahan sayamohon maaf" katanya.

Lebih 10,000 hadir majlis kesyukuran Bukit Gantang.

Lebih 10,000 orang dari seluruh negara hadir dalam majlis kesyukuran sempenan kemanangan PRK Parlimen Bukit Gantang yang diadakan di Tapak ekspo Rakyat, Simpang, Taiping kelmarin. Hadir bersama YAB Menteri Besar dan Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru itu ialah Speaker DUN Perak,V.Sivakumar, Naib Presiden PAS, Ust. Ahmad Awang, ADUN PAS, Drs. Khalil Idham Lim, Hj. Hussin Din, Hj.Ramli Tusin dan Hj.Anuar Sudin dan ADUN KualaSepetang, Tai Sing Eng.





















Gambar ceramah penerangan di Pasir Panjang.

Drs. Khalil menyampaikan ceramah di DUN Pasir Panjang yang diwakili oleh DS. Nizar Jamaluddin pada 17 April yang lepas.


Klik seterusnya untuk gambar yang lain....

Pelbagai bangsa yang hadir.

Para penceramah yang dijemput.

Hampir 5,000 orang yang hadir.

Ahli Parlimen Baling, YB. Ust. Taib Azamuddin sedang berceramah.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat, Dato' Ngeh Koo Ham berceramah dalam Bahasa Melayu sebagai penceramah terakhir.


Tanam pokok bawah pokok ?

Bercerita kepada ana kecil dengan tajuk ringkas seperti diatas, komen pertamanya "mana boleh". namun itu sudah jadi kenyataan akibat ketakutan yang amat sangat kepada usaha untuk membangunkan kembali "PlakDemokrasi" yang dimusnahkan suatu masa dulu.

Kerana itulah Majlis bandaraya Ipoh (MBI) pada pagi 18April lepas telah "menanan pokok bawah pokok" seperti gambar- gambar yang saya paparkan ini.



Tarikh Sidang DUN : Macam bapa tidak tahun tarikh anak nak kenduri.

BALING, 18 April :- Penentuan tarikh Sidang DUN Perak pada 7 Mei akan datang yang langsung tidak dibincang dengan Speaker sebagai "ketua" DUN sepertilah bapa yang mempunyai anak tiba-tiba dapat kad kenduri mengatakan tarikh anaknya khawin. Demikian antara penjelasan dari ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim menjelaskan isu di Perak dalam ceramahnya di Kg. Iboi disini .

Drs. Khalil juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan memperolok dan memperbodohkan Speaker itu.

"Perak menjadi guru politik kepada semua rakyat bahawa BN tidak sanggup menghadapi kekalahan pada tahun 2008 dan sanggup berbuat apa saja untuk mengembalikan kuasa yang hilang walaupun dengan cara rampasan kuasa" Jelas nya.

Khalil : Saya kesal pemimpin UMNO selama 50 tahun gagal jelaskan Islam kepada orang Cina dan India.

BALING, 18 April :- Saya kesal kerana pemimpin UMNO gagal untuk menjelaskan Islam kepada orang Cina dan India walaupun dia sudah lebih 50 tahun bersama MCA dan MIC dalam BN. Malahan sebaliknya lahir di kalangan pemimpin BN yang jelas menghina Islam seperti yang pernah diucapkan oleh Samy Vellu "dalam Quran mana ada Lebuhraya". Demikian antara ucapan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa berceramah di Kg. Iboi dalan DUN Bayu, Parlimen Baling kelmarin.

Drs. Khalil berceramah bersama dengan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB. Zulkifli Nordin. Hadir sama ialah YDP PAS Kawasan baling, Tuan Guru Hj. Yahya, ADUN Kupang, YB. Johari dan pimpinan PAS Kawasan yang lain.

Selain itu katanya UMNO sanggup memperolok-olokkan Islam di hadapan orang bukan Islam demi untuk mendapat kemenangan, pelbagai pembohongan dibuat untuk memastikan orang Cina dan India tidak memilih PAS.

Beliau juga mengatakan penyakit takut kepada beberapa amalan Islam akhirnya ditakuti oleh orang Islam sendiri , "dalam masalah bersunat sehingga budak Melayu pun takut dan lari panjat pokok betik" katanya, mengulas kesan dari UMNO yang menakut-nakutkan orang Cina dan India kalau PAS menang "kemaluan kamu akan di potong".

Drs. Khalil juga membantah pandangan yang mengatakan haram orang bukan Islam membaca Al Quran sedangkan ianya boleh mempercepatkan seseorang masuk Islam. Memetik beberapa pandangan ulamak antaranya Pengarang kitab I'ana al-Talibin dari kitab Busyra al-Karim katanya,"maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk islam" .

Kehadiran memberangsangkan walaupun ceramah diadakan di kubu kuat UMNO.


"Kalaulah orang cina yang bukan Islam baca Quran tidak betul, adakah orang Melayu yang sudah lama Islam semuanya betul baca Quran" Tanya Khalil.

"Sesudah itu kalau ada yang tidak betul baca Quran, bolehkah selesai masalah dengan buat laporan polis. kalau tidak betul baca kena belajar bukanya buat repot polis" Tegasnya lagi.